Entri 10: Pengalaman pulang ke Kampung, Kenangan di Maran
Entri 10: Pengalaman pulang ke Kampung, Kenangan di Maran
Setiap orang ada tempat yang membuatkan jiwa terasa damai, seolah-olah masa bergerak perlahan dan hati menjadi ringan. Bagi saya, tempat itu ialah Maran, sebuah daerah tenang di Pahang yang menyimpan sebahagian sejarah keluarga saya. Di sinilah ibu saya dilahirkan dan dibesarkan. Walaupun saya tidak membesar di kampung, setiap kali pulang ke sana, saya seolah-olah kembali kepada akar yang menyuburkan diri saya hari ini.
Perjalanan ke Maran dari rumah kami bukanlah terlalu jauh, tetapi cukup untuk membuat saya terasa seperti berada dalam dunia yang lain. Udara di sini lebih segar, langitnya lebih biru dan suara kenderaan digantikan dengan nyanyian burung serta desiran angin. Kampung ini dikelilingi oleh pohon-pohon hijau yang tinggi dan rumah-rumah Melayu tradisional yang masih berdiri megah meskipun masa terus berlalu.
Kami ke rumah lama peninggalan nenek. Rumah itu kini hanya dihuni oleh adik ibu saya. Ia terletak di tepi jalan kecil dan dikelilingi pokok-pokok buah yang subur. Di hadapan rumah, terdapat pokok rambutan yang sedang merah menyala dan pokok durian yang tinggi menjulang. Rambutan sudah ranum dan manis. Kami memetiknya bersama dan saya tidak akan lupa, itu ialah kali pertama saya melihat buah dipetik terus dari pokok. Ia mungkin perkara biasa bagi orang kampung, tetapi bagi saya, ia satu pengalaman yang mengagumkan.
Pokok durian pula masih belum matang. Buahnya masih hijau dan berduri tajam. Namun saya tetap teruja kerana itu juga kali pertama saya melihat pokok durian yang sebenar. Sebelum ini, durian bagi saya hanyalah sesuatu yang dibeli di pasar, bukan dilihat tumbuh sendiri di halaman rumah.
Apa yang menjadikan kawasan rumah ini lebih istimewa ialah adanya sungai kecil di bahagian belakang. Sungai itu mengalir tenang, dikelilingi pokok-pokok liar yang merimbun. Ibu memberitahu sungai itu telah mengalir sejak dia kecil lagi. Namun, setiap tahun apabila musim hujan tiba, air sungai akan naik dan melimpah ke kawasan rumah. Banjir menjadi sesuatu yang biasa bagi penduduk di sini. Rumah-rumah dibina tinggi dengan tiang kayu kerana mereka tahu, air akan datang dan pergi. Saya membayangkan bagaimana suasana malam semasa banjir, bunyi hujan lebat, air yang mengalir deras dan keluarga berkumpul sambil menjaga satu sama lain. Ia menakutkan tetapi dalam masa yang sama menyatukan semua rakyat.
Di sekitar rumah, jiran-jiran kebanyakannya orang Melayu. Kami sempat menziarahi beberapa rumah mereka dan sambutan mereka begitu mesra serta ikhlas. Saya masih ingat kami bertandang ke sebuah rumah yang dipenuhi bau kuih bahulu dan bunyi tangisan bayi. Seorang jiran baru sahaja menimang cahaya mata. Bayi itu sedang tidur lena di buaian rotan yang tergantung di ruang tamu. Wajahnya tenang seperti kampung ini sendiri.
Salah satu tempat yang paling istimewa bagi ibu saya ialah Kuil Sri Marathandavar yang terletak di Maran. Kuil ini sangat terkenal dalam kalangan penganut Hindu kerana sejarah dan keunikannya yang tersendiri. Ia dikelilingi pokok besar dan dibina di kawasan yang sejuk dan damai. Kami sempat singgah ke sana, dan saya perhatikan bagaimana mata ibu saya bersinar sewaktu melangkah masuk ke perkarangan kuil. Di wajahnya, saya melihat kenangan yang tiba-tiba muncul seperti lembaran lama yang dibuka semula.
Saya teringat cerita ibu tentang waktu kecilnya. Setiap kali menjelang perayaan Thaipusam, beliau akan berjalan kaki bersama nenek dari rumah ke kuil, membawa dulang berisi bunga melur dan kelapa. Walaupun perjalanannya jauh dan panas terik, ibu berkata dia sentiasa rasa gembira kerana dapat bersama keluarga dan jiran-jiran lain. Mereka berjalan sambil menyanyi, tertawa dan berdoa dengan penuh harapan. Ibu juga pernah bercerita tentang satu ketika, semasa hujan lebat turun, mereka tetap meneruskan perjalanan ke kuil dengan payung koyak dan baju yang basah. Namun dalam basah itu, katanya, ada bahagia yang tidak mampu dibeli.
Sebelum kami pulang, ibu membawa saya melawat Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil Sungai Jerik, iaitu sekolah yang sangat dekat di hatinya. Di situlah beliau pernah belajar sebagai seorang murid kecil, dan beberapa tahun kemudian kembali semula ke sekolah yang sama sebagai seorang guru. Saya lihat ibu berdiri lama di hadapan pagar sekolah itu, matanya seperti menyelusuri waktu. Sekolah itu kelihatan sunyi, namun terjaga dan masih kukuh berdiri. Kata ibu, banyak kenangan yang tidak dapat dilupakan di sana. Dari belajar mengeja dan mengira dalam kelas berdinding kayu, hinggalah mengajar anak-anak kampung dengan penuh kasih sayang, semuanya berlaku di tapak yang sama. Di situ jugalah ibu membentuk cita-cita, kekuatan dan semangat untuk berubah.
Pahang ialah negeri yang kaya dengan alam dan budaya. Dari sungai-sungainya yang bersih hinggalah ke gunung-ganangnya yang megah, segala-galanya membentuk satu suasana yang mendamaikan. Di Maran, saya belajar bahawa kampung bukan hanya tempat, tetapi memori yang hidup dalam diri kita. Ia bukan sekadar pemandangan cantik tetapi tempat di mana nilai kekeluargaan, kesederhanaan dan kebersamaan masih dijaga.
Kepulangan saya ke kampung bukan sahaja mengisi waktu cuti tetapi mengisi jiwa. Ia mengajar saya melihat kehidupan dengan cara yang lebih perlahan dan penuh rasa syukur. Dalam dunia yang sering sibuk dan penuh tekanan, pengalaman ini adalah nafas yang menyegarkan.
Comments
Post a Comment