Entri 11: Bila Dunia Bergerak Laju, Di Mana Tempat Anak Muda Berdiri?
Entri 11: Bila Dunia Bergerak Laju, Di Mana Tempat Anak Muda Berdiri?
Saya masih ingat perasaan itu. Duduk di sudut bilik asrama, telefon di
tangan, skrin menyala memaparkan berita tentang seorang remaja lelaki yang
berumur 21 tahun, ditahan kerana terlibat dalam penipuan atas talian. Berita
seperti ini mungkin tidak mengejutkan lagi. Tetapi petang itu, dada saya rasa
sesak. Mungkin kerana umur kami sebaya. Mungkin kerana wajahnya dalam gambar
tangkapan layar itu tak jauh beza daripada rakan-rakan saya sendiri.
Apa yang membuatkan dia memilih jalan itu? Adakah kerana tekanan hidup?
Keinginan untuk cepat kaya? Atau kerana dia fikir tiada jalan lain yang lebih
mudah?
Dunia hari ini bergerak terlalu laju. Sebagai anak muda, kami dihujani
pelbagai harapan dan perbandingan. Di Instagram, saya lihat rakan-rakan sebaya
sudah berniaga, melancong ke luar negara, menghadiri seminar keusahawanan. Di
TikTok, ada yang berkongsi tips beli rumah pada umur 23, atau bergambar dengan
kereta mewah sambil menulis kapsyen yang penuh keyakinan.
Tetapi hakikatnya jauh lebih rumit. Ada kawan saya yang setiap pagi
terpaksa berjimat sarapan sekadar roti putih dan air paip. Ada yang bekerja
sambilan hingga tengah malam, bangun keesokan harinya awal semata-mata untuk
menghadiri kelas. Saya sendiri pernah duduk di kafe kampus, hanya mampu memesan
air suam, sebab bajet untuk minggu itu hampir habis.
Dalam saat-saat sukar begitu, saya teringat wajah ibu dan ayah. Ayah
yang sanggup bangun seawal lima pagi setiap hari, memandu ke tempat kerja tanpa
pernah merungut. Ibu pula yang sentiasa memasukkan sedikit duit ke dalam akaun
saya walaupun saya tahu simpanannya tidak banyak. Saya tidak pernah beritahu
mereka tentang segala tekanan yang saya hadapi di universiti. Saya tidak mahu
mereka bimbang. Tetapi setiap kali melihat dompet sendiri yang semakin nipis,
saya terbayang mereka mengikat perut di rumah.
Sebab itu saya tidak boleh mengalah. Saya tidak mampu hidup tanpa
mengenang pengorbanan mereka. Mereka mungkin tidak pernah minta saya balas
jasa, tetapi saya tahu, setiap kejayaan kecil yang saya kecapi akan menjadi pelita
buat mereka.
Baru-baru ini, saya membaca tentang kemalangan tragik di Gerik, Perak,
yang melibatkan bas pelajar dari UPSI. Ramai terkorban. Mereka bukan orang
asing. Mereka seperti saya. Seusia saya. Pelajar yang pulang dari program
universiti. Muda, berimpian, dan percaya pada masa depan. Namun dalam sekelip
mata, semuanya tamat. Ibu bapa yang menghantar anak dengan harapan, akhirnya
menerima jenazah dalam balutan kain putih.
Berita itu mengusik jiwa saya. Hidup ini tidak selamanya sempat. Tidak
semua impian akan sempat dicapai. Kadang-kadang yang tinggal hanya kenangan,
dan air mata yang tidak sempat dikeringkan. Sejak itu, saya sering terfikir, Apakah
makna kejayaan jika kita lupa untuk hidup dengan hati yang sedar dan jiwa yang
bersyukur?
Namun di sebalik tragedi dan tekanan, saya juga percaya masih ada
cahaya. Seorang pelajar dalam kelas saya baru-baru ini membentangkan hasil
kajiannya tentang kesan media sosial terhadap kesihatan mental remaja. Dia
bukan pelajar yang sering menonjol, tetapi hari itu dia bersinar. Dia buktikan
bahawa tidak perlu popular untuk berguna. Saya juga ada kawan yang masuk ke
program latihan digital di bawah MDEC. Dia mula dari kosong, tidak tahu apa-apa
tentang kod atau laman web. Tetapi dia gigih belajar. Dia pernah menangis
malam-malam kerana gagal siapkan projek. Hari ini dia sudah mampu buat laman
web sendiri dan membantu peniaga kecil di kampungnya. Saya bangga padanya,
walaupun dia tidak pernah bercerita banyak.
Saya percaya jadi anak muda bukan soal siapa paling cepat berjaya,
tetapi siapa yang berani untuk terus melangkah walaupun jalannya belum jelas.
Kita bukan hanya bersaing dengan rakan sebaya, tetapi juga dengan jangkaan
orang dewasa, ekonomi yang tidak stabil, dan dunia yang terlalu bising.
Media mungkin gemar memaparkan sisi gelap anak muda. Yang muflis, yang
tersalah jalan, yang tersasar. Tetapi jangan lupa bahawa ramai antara kami juga
sedang bertahan. Bertahan bukan kerana kami kuat, tetapi kerana kami tahu siapa
yang kami perjuangkan.
Saya berjuang untuk ibu saya yang tidak pernah letih. Untuk ayah saya
yang diam-diam percaya saya mampu. Untuk adik-beradik saya yang masih melihat
saya sebagai contoh. Dan untuk diri saya sendiri yang masih belajar mencintai
hidup walaupun ia kadang-kadang menyakitkan.
Jika dunia ini pentas, maka anak muda ialah watak utama yang belum tamat
kisahnya. Kita menulis skrip setiap hari dengan pilihan, dengan harapan, dan
dengan kasih sayang. Hidup ini tidak pasti, tetapi selagi kita bernafas, kita
masih ada ruang untuk membina. Dan saya percaya, selagi kita masih berjalan,
selagi itu harapan tidak pernah mati.
Comments
Post a Comment