Entri 2: Hujan Itu Mengajar Kami Tabah
Entri 2: Hujan Itu Mengajar Kami Tabah
Ramadan bukan sahaja bulan penuh keberkatan,
malah menjadi ruang rezeki buat ramai peniaga kecil. Di Bazar Ramadan Jenjarom,
suasananya sentiasa meriah dengan aroma makanan, suara penjual dan gelak tawa
pengunjung. Namun satu petang, langit yang cerah berubah muram dan detik itu
menjadi pengalaman yang tidak akan saya lupakan.
Saya seperti biasa membantu ibu di gerai kami
pada hari yang saya tidak sibuk dengan tugasan kuliah. Membantu ibu berniaga di
pasar malam bukan sesuatu yang asing bagi saya. Malah ia sudah menjadi rutin
yang mendidik saya tentang erti kerja keras dan kasih sayang. Namun pada hari
itu, segalanya berubah sekelip mata.
Langit tiba-tiba mendung. Angin kencang mula
bertiup dan awan hitam meluru pantas ke arah kami. Tidak lama kemudian, hujan
turun dengan lebat disertai ribut kuat yang menggegarkan khemah-khemah di
sekeliling bazar. Dalam sekelip mata, khemah kami dan khemah-khemah peniaga
lain hampir diterbangkan angin. Kami terpaksa berlari ke setiap hujung khemah,
memegang erat tiang supaya tidak terangkat dan melayang.
Baju ibu dan pekerja kami lencun dibasahi
hujan. Saya melihat wajah mereka penuh cemas tetapi tangan tetap kuat
mencengkam. Suara jeritan dan kekecohan mula kedengaran di sekeliling. Ada
khemah yang roboh, ada makanan yang sudah siap disusun untuk jualan kini
menjadi lembik dan rosak. Ada juga yang hanya mampu duduk dan menangis. Saya
berdiri di sisi ibu, menggigil bukan kerana sejuk tetapi kerana bimbang.
Hujan itu berlangsung hampir 45 minit. Dalam
tempoh itu, suasana menjadi kelam-kabut. Setelah sejam, hujan mula berhenti.
Namun angin masih menderu seolah-olah amarah langit belum reda sepenuhnya.
Keadaan sekeliling tampak huru-hara. Khemah patah, meja terbalik, lauk-pauk
bercampur air hujan. Saya hanya mampu termenung. Rezeki yang diusahakan sejak
pagi kini musnah begitu sahaja.
Namun dalam kekecohan itu, saya melihat
sesuatu yang menyentuh hati. Para peniaga mula saling membantu. Ada yang
hulurkan tali tambahan, ada yang bantu dirikan khemah semula, ada yang beri
baju kering kepada anak kecil yang kesejukan. Dalam derita, muncul nilai
kemanusiaan dan kebersamaan yang jarang terlihat dalam waktu senang.
Isu cuaca ekstrem seperti ini bukanlah perkara
asing lagi. Semakin hari, fenomena seperti hujan lebat, ribut dan banjir kilat
menjadi semakin kerap. Ini bukan hanya kisah tentang hujan di bazar Ramadan,
tetapi satu peringatan tentang perubahan iklim yang semakin nyata dan dekat
dengan kehidupan kita. Golongan kecil seperti peniaga pasar malam sering
menjadi mangsa yang paling awal terasa kesannya.
Kejadian ini menyedarkan saya bahawa isu alam
sekitar bukan hanya perbincangan di bilik kuliah atau persidangan antarabangsa.
Ia berlaku di depan mata kita, di tempat kita mencari rezeki dan kepada orang
yang kita sayang. Dan selagi kita tidak peka dan bertindak, lebih ramai akan
terus menanggung akibatnya.
Petang itu saya pulang dengan pakaian yang
basah, kaki yang lenguh dan dada yang sesak. Tetapi hati saya penuh dengan rasa
syukur kerana masih selamat dan kerana diberi peluang melihat kekuatan sebenar
sebuah komuniti.
Comments
Post a Comment