Entri 9: Langkah Pertama di Kolej, Antara Harapan dan Air Mata

 

Entri 9: Langkah Pertama di Kolej, Antara Harapan dan Air Mata

Tanggal 19 Oktober 2024, hari Sabtu yang menjadi titik permulaan sebuah bab baharu dalam hidup saya. Buat pertama kalinya, saya akan menjejakkan kaki ke kolej sebagai pelajar Universiti Putra Malaysia. Seawal pagi itu, kami bertolak dari rumah dengan perasaan yang bercampur baur. Ada gembira, ada gemuruh dan ada juga rasa berat hati yang tidak terungkap.

Kami tiba di Kolej Tan Sri Aishah Ghani tepat pukul satu pagi. Udara sunyi dan sejuk tetapi jantung saya berdebar kencang. Saya segera ke pejabat kolej untuk menandatangani kehadiran dan mengambil kunci bilik. Pada masa itu, saya masih belum begitu pasti lokasi sebenar kolej saya. Mujur ada seorang staf di pejabat yang begitu ramah dan membantu. Beliau bukan sahaja menunjukkan arah ke kolej, malah sempat mengucapkan tahniah kerana saya berjaya menempatkan diri di UPM. Ucapan itu walaupun ringkas, membuat saya rasa dihargai dan disambut.

Bilik saya bernombor 533. Pada mulanya saya keliru, tidak tahu bilik itu terletak di tingkat berapa. Selepas bertanya kepada beberapa pelajar, barulah saya tahu ia berada di tingkat paling atas. Hati saya sedikit gementar, bukan kerana tinggi tetapi kerana memikirkan bagaimana saya hendak mengangkat semua barang.

Ibu saya walaupun lututnya sakit tetap menemani saya hingga ke tingkat atas. Saya tahu langkah itu berat untuknya tetapi dia tidak mengeluh walau sedikit. Saya berulang-alik sebanyak tiga kali dari bawah ke atas untuk membawa semua barang agar tidak menyusahkan ibu. Dalam diam, beliau telah membersihkan bilik saya dengan penuh kasih sayang sementara saya masih sibuk mengangkat barang. Tindakan itu walaupun kecil amat menyentuh hati saya.

Setelah semuanya selesai dan barang-barang tersusun rapi, tibalah saat yang paling saya tidak bersedia hadapi iaitu mengucapkan selamat tinggal. Saya nampak mata ibu saya bergenang. Air matanya jatuh tanpa suara. Saya cuba menahan emosi, tidak mahu menangis di hadapan mereka. Tetapi hati saya sungguh berat. Saya memeluk kedua ibu bapa saya dengan erat lalu melambai mereka pergi. Saat itu terasa dunia jadi sunyi seketika.

Petangnya saya dan rakan sebilik saya berjalan ke Umai Café yang terletak berhampiran kolej untuk membeli makan malam. Kami makan bersama sambil bercerita tentang latar belakang hidup masing-masing. Dalam perbualan kami terasa seperti dua dunia yang sedang belajar memahami antara satu sama lain. Walaupun baru kenal, ada sesuatu yang selesa dalam persahabatan yang mula terbina.

Malam itu sebelum tidur, saya memegang telefon dan membuat panggilan video kepada ibu bapa. Rasa rindu yang mencengkam tidak dapat saya tahan. Suara mereka di skrin membuatkan saya rasa tenang walaupun jauh dari rumah. Saya senyum, mereka juga senyum walaupun masing-masing sedang menyorokkan rasa pilu dalam hati.

Hari pertama di kolej bukan sekadar tentang berpindah ke tempat baharu. Ia adalah permulaan proses menjadi dewasa, belajar berdikari dan mengenal makna rindu serta kasih sayang. Ia mengajar saya bahawa setiap langkah ke hadapan memerlukan keberanian dan keberanian itu saya temui dalam diri sendiri, didorong oleh cinta ibu dan ayah.

 

 

Comments

Popular posts from this blog

Entri 10: Pengalaman pulang ke Kampung, Kenangan di Maran

Entri 11: Bila Dunia Bergerak Laju, Di Mana Tempat Anak Muda Berdiri?

Entri 14: Dunia Hiburan (Cermin Budaya atau Ciptaan Ilusi?)